Sunday, December 6, 2009

Laporan AFC2009

Mu’tah Universiti, 5 disember 2009: Alhamdulillah! Pasukan Malaysia (IRBID) berjaya menjuarai pertandingan ASEAN FUTSAL CUP anjuran Malaysia Student Department (MSD) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ) yang telah berlangsung pada 5 Disember 2009 bertempat di Solah Riadi Universiti Mu’tah.

Pada perlawanan akhir, Malaysia (IRBID) telah menang ke atas Malaysia (Mafraq) dengan jaringan 3-2. Sementara itu, tempat ke-3 telah disandang oleh Thailand yang berjaya dalam penentuan sepakkan penalti ke atas Malaysia (Mu’tah) dalam perlawanan penentuan tempat ke-3 dan ke-4.

Sebanyak 10 pasukan telah mengambil bahagian di dalam kejohanan futsal selama sehari ini yang diadakan bagi merancakkan lagi program Asean Futsal Cup (AFC2009) ini. Pasukan tersebut termasuklah 5 buah negara asean seperti Malaysia, Brunei, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Duta Besar Malaysia ke Amman Dato’ Abdul Malek bin Abdul Aziz berserta 4 duta negara lain telah hadir merasmikan majlis penutupan sekaligus sudi menyampaikan hadiah kepada para pemenang Asean Futsal Cup 2009.

Di dalam ucapan penangguhannya, Dato’ Duta berkata , “Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pihak penganjur iaitu Malaysian Student Department (MSD) di atas inisiatif menganjurkan kejohanan ini. Program sebegini dapat mengajak para pelajar khususnya belia untuk terlibat dalam aktiviti yang sihat serta belajar untuk berpesatuan di masa hadapan. Sesungguhnya, belia merupakan aset terpenting agama, bangsa dan negara pada masa mendatang.

Saya menyambut baik dan menyokong apa-apa sahaja bentuk aktiviti riadhah yang sihat melibatkan golongan pelajar khususnya. Futsal bukanlah semata-mata satu aktiviti sukan yang hanya untuk mengeluarkan peluh semata-mata, namun ianya mengandungi peraturan-peraturan dan disiplin permainan yang seharusnya dipatuhi dan dihargai. Selain itu, ia juga dapat mengeratkan tali silaturrahim dalam kalangan peserta, penonton dan masyarakat setempat. Justeru itu, saya berharap kejohanan sebegini akan dapat diteruskan lagi pada tahun hadapan.”

Turut hadir sama pada majlis penutupan ialah Duta Filipina, Duta Thailand, Duta Brunei, Duta Indonesia serta Pengarah Universiti Mu’tah.

Nota: Pihak AJK PELAKSANA AFC2009 mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua Atlet dan peserta yang telah memberi komitmen jitu dalam menjayakan program ini. Kita jumpa di AFC2010 tahun hadapan. Semoga Allah SWT menerima segala amalan dakwah kita. Bersama kita buat yang terbaik untuk ISLAM kerana ALLAH.

Wallahu a’lam bissawab.

“UKHUWAH BERSATU DI MEDAN RIADHAH”

0 comments: